Tuesday, 1 April 2014

ENTRI 2 : Suasana Pembelajaran Di Universiti Sebagai Pelajar Pengurusan Hospitaliti


Apabila sebut saja mengenai universiti, aku akan terus  terbayangkan tugasan yang menimbun seperti Puncak Vista yang mana lokasinya di dalam UUM, perlu bercakap, membuat tugasan dan belajar dengan menggunakan bahasa Inggeris, pensyarah yang tegas dan sangat teliti, perbentangan tugasan, 1001 gelagat dan perangai ahli kumpulan serta rakan sekuliah, penglibatan dalam persatuan dan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak universiti dan juga dewan penginapan pelajar, berebut bas untuk ke kuliah dan banyak lagi. Semua ini adalah perkara biasa yang akan dihadapi oleh sesiapa sahaja yang bergelar pelajar universiti, tidak kiralah dimana-mana universiti, tanpa mengira bangsa, agama dan status seseorang itu.
Aku merupakan seorang pelajar Pengurusan Hospitaliti dengan kepujian di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah. Berada di tahun kedua, semester 4, berbaki satu semester di universiti dan latihan industri selama enam bulan di syarikat atau industri yang berkaitan dengan program yang diambil. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2007, aku memulakan pengajian dari peringkat sijil sehinggalah diploma dan seterusnya di peringkat ijazah. Semuanya adalah program yang berkaitan dengan Hospitaliti. Setiap peringkat pengajian yang aku lalui, sedikit berbeza dari satu peringkat ke peringkat lain. Sememangnya suasana pembelajaran di universiti berbeza dengan tempat pengajian sebelumnya.
Sebagai seorang pelajar dalam bidang Pengurusan Hospitaliti, menjadi keutamaan pelajar untuk menjaga penampilan diri, dan sentiasa menyukir senyuman yang mesra kerana ia sangat penting untuk mendisplinkan diri sekaligus dapat memberi tanggapan yang baik pada diri serta orang lain terhadap pelajar Pengurusan Hospitaliti. Suasana pembelajaran di universiti sebagai pelajar Pengurusan Hospitaliti bagiku, sesuatu yang ceria, walaupun sentiasa sibuk dan memenatkan dari segi fizikal dan mental. Oleh kerana mata kredit untuk program ini 148 kredit, maka jadual untuk setiap semester agak padat. Akan tetapi bagiku ia bukanlah satu masalah yang besar. Jadual kelas tidaklah begitu padat kerana aku telah memindahkan kredit subjek yang telah dipelajari semasa pengajian peringkat sijil dan diploma. Aku juga tidak perlu lagi untuk belajar subjek yang melibatkan amali di dapur, kaunter hadapan, bilik hotel, dan restoran. Untuk kelas teori, aku ke kelas bersama rakan sekuliah, dan kami akan duduk bersebelahan atau didalam barisan yang sama, supaya apabila pensyarah memberi tugasan untuk perbincangan didalam kumpulan, kami tidak perlu bergerak kesana kemari mencari ruang untuk kumpulan kami. Belajar dari pengalaman lalu, aku lebih gemarkan bersama ahli kumpulan yang banyak bercakap mengenai sebarang perkara yang boleh terima dek akal berbanding ahli kumpulan yang lebih suka menyendiri dan pendiam, kerana mereka lebih terbuka mindanya, jadi lebih banyak idea yang dapat dikongsi bersama. Apa yang lebih penting, dapat memberikan komitmen yang baik dalam menyiapkan sebarang tugasan. Apa yang boleh aku ceritakan disini adalah berdasarkan pengalamanku sendiri dan hasil pemerhatianku terhadap rakan seprogram. Contohnya, pelajar yang perlu ke kelas masakan dan kelas perkhidmatan makanan dan minuman sangat sibuk dan penat. Ini kerana pelajar harus memulakan tugas seawal pagi dan perlu membuat persiapan awal sehari sebelum kelas amali tersebut bermula. Pada masa yang sama, dalam  menikmati proses pembelajaran amali tersebut, perasaan teruja dan gembira sentiasa ada kerana suasana pembelajaran yang sangat menarik pada pandanganku.  Aku dapat melihat tingkah laku rakan sekuliah dalam mengendali pelanggan yang cerewet.
Untuk mengakhiri celotehku, aku sukakan situasi ini, sentiasa sibuk dan ceria sekaligus dapat mengisi masa senggangku dengan aktiviti program Pengurusan Hospitaliti yang berfaedah. Bukan itu sahaja, banyak ilmu dan pengalaman yang boleh aku timba dari program ini kerana ia banyak berkaitan dengan kehidupan seharian kita. Paling penting sedikit sebanyak ia dapat membantu untuk menempuhi alam kerjaya. Insyaallah.




No comments:

Post a Comment