Apabila
sebut saja mengenai universiti, aku akan terus terbayangkan tugasan yang menimbun seperti
Puncak Vista yang mana lokasinya di dalam UUM, perlu bercakap, membuat tugasan
dan belajar dengan menggunakan bahasa Inggeris, pensyarah yang tegas dan sangat
teliti, perbentangan tugasan, 1001 gelagat dan perangai ahli kumpulan serta rakan
sekuliah, penglibatan dalam persatuan dan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak
universiti dan juga dewan penginapan pelajar, berebut bas untuk ke kuliah dan
banyak lagi. Semua ini adalah perkara biasa yang akan dihadapi oleh sesiapa
sahaja yang bergelar pelajar universiti, tidak kiralah dimana-mana universiti,
tanpa mengira bangsa, agama dan status seseorang itu.
Aku
merupakan seorang pelajar Pengurusan Hospitaliti dengan kepujian di Universiti
Utara Malaysia, Sintok, Kedah. Berada di tahun kedua, semester 4, berbaki satu
semester di universiti dan latihan industri selama enam bulan di syarikat atau
industri yang berkaitan dengan program yang diambil. Selepas tamat Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2007, aku memulakan pengajian dari
peringkat sijil sehinggalah diploma dan seterusnya di peringkat ijazah.
Semuanya adalah program yang berkaitan dengan Hospitaliti. Setiap peringkat
pengajian yang aku lalui, sedikit berbeza dari satu peringkat ke peringkat
lain. Sememangnya suasana pembelajaran di universiti berbeza dengan tempat
pengajian sebelumnya.
Sebagai
seorang pelajar dalam bidang Pengurusan Hospitaliti, menjadi keutamaan pelajar
untuk menjaga penampilan diri, dan sentiasa menyukir senyuman yang mesra kerana
ia sangat penting untuk mendisplinkan diri sekaligus dapat memberi tanggapan
yang baik pada diri serta orang lain terhadap pelajar Pengurusan Hospitaliti.
Suasana pembelajaran di universiti sebagai pelajar Pengurusan Hospitaliti
bagiku, sesuatu yang ceria, walaupun sentiasa sibuk dan memenatkan dari segi
fizikal dan mental. Oleh kerana mata kredit untuk program ini 148 kredit, maka jadual
untuk setiap semester agak padat. Akan tetapi bagiku ia bukanlah satu masalah
yang besar. Jadual kelas tidaklah begitu padat kerana aku telah memindahkan
kredit subjek yang telah dipelajari semasa pengajian peringkat sijil dan
diploma. Aku juga tidak perlu lagi untuk belajar subjek yang melibatkan amali
di dapur, kaunter hadapan, bilik hotel, dan restoran. Untuk kelas teori, aku ke
kelas bersama rakan sekuliah, dan kami akan duduk bersebelahan atau didalam
barisan yang sama, supaya apabila pensyarah memberi tugasan untuk perbincangan
didalam kumpulan, kami tidak perlu bergerak kesana kemari mencari ruang untuk
kumpulan kami. Belajar dari pengalaman lalu, aku lebih gemarkan bersama ahli
kumpulan yang banyak bercakap mengenai sebarang perkara yang boleh terima dek
akal berbanding ahli kumpulan yang lebih suka menyendiri dan pendiam, kerana
mereka lebih terbuka mindanya, jadi lebih banyak idea yang dapat dikongsi
bersama. Apa yang lebih penting, dapat memberikan komitmen yang baik dalam
menyiapkan sebarang tugasan. Apa yang boleh aku ceritakan disini adalah
berdasarkan pengalamanku sendiri dan hasil pemerhatianku terhadap rakan
seprogram. Contohnya, pelajar yang perlu ke kelas masakan dan kelas perkhidmatan
makanan dan minuman sangat sibuk dan penat. Ini kerana pelajar harus memulakan
tugas seawal pagi dan perlu membuat persiapan awal sehari sebelum kelas amali
tersebut bermula. Pada masa yang sama, dalam
menikmati proses pembelajaran amali tersebut, perasaan teruja dan
gembira sentiasa ada kerana suasana pembelajaran yang sangat menarik pada
pandanganku. Aku dapat melihat tingkah
laku rakan sekuliah dalam mengendali pelanggan yang cerewet.
Untuk
mengakhiri celotehku, aku sukakan situasi ini, sentiasa sibuk dan ceria
sekaligus dapat mengisi masa senggangku dengan aktiviti program Pengurusan
Hospitaliti yang berfaedah. Bukan itu sahaja, banyak ilmu dan pengalaman yang
boleh aku timba dari program ini kerana ia banyak berkaitan dengan kehidupan
seharian kita. Paling penting sedikit sebanyak ia dapat membantu untuk menempuhi
alam kerjaya. Insyaallah.